Salam sejahtera,
Nama saya di atas pelan adalah Inarz. Asalnya saya dilamar menjadi pelatih pelukis pelan di salah satu syarikat perunding kejuruteraan awam pada tahun 1994 setelah tamat kontrak selama 2 tahun menjadi guru sandaran beredar.
Menariknya ketika itu saya tiada langsung kelayakan dalam bidang teknikal kerana saya bersekolah dalam aliran Agama yang layaknya untuk kerjaya seorang ustazah. Malah saya tidak pernah tau apa itu pelukis pelan. Saya tidak pernah impikan kerjaya seperti ini dalam hidup saya. Ye, saya bermula dengan zero dalam bidang ini hanya berbekalkan SPM gred 1 dan salah satunya kepujian dalam Lukisan. Saya tidak melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi kerana niat saya hanya ingin bantu abah selepas saya habis SPM. Itu memang niat utama saya. Saya tanam dalam-dalam niat untuk belajar lagi mungkin nanti saya akan sambung belajar pada masa akan datang. Moga perkongsian saya nanti dapat memberi semangat baru kepada semua yang berbakat dalam bidang kemahiran.
Kerjaya ini bukan pilihan saya tetapi ianya adalah takdir saya. Allah yang pegang hati manusia maka saya diberi kepercayaan oleh seorang pengarah urusan yang tidak pernah kenal siapa saya tiba-tiba menawarkan saya masuk dalam bidang ini dan memberi peluang kepada saya untuk pelajari bidang teknikal. Rezeki bagai bulan jatuh ke riba tanpa perlu saya bersusah payah mencari pekerjaan dan peluang belajar dalam bidang lain. Atas niat yang tekad saya cabar diri dan berusaha dalam bidang yg sungguh asing bagi saya sehingga saya berada dalam bidang ini menjangkau hampit 25 tahun..
Rezeki Allah tidak pernah salah alamat. Asalnya saya hanya menemankan seorang rakan yang ingin pergi ke temuduga jawatan kerani. Tetapi sebaik sahaja rakan saya seleaai ditemuduga tiba-tiba rakan saya mengatakan bahawa penemuduga ingin bercakap dengan saya. Dengan perasaan pelik saya masuk ke bilik temuduga. Kenapa ye tuan nak jumpa saya Saya kata saya x mohon apa-apa jawatan pun tuan saya hanya temankan kawan saya je. Penemuduga tersebut juga pengarah urusan syarikat perunding kejuruteraan awam. Dia cuma tanya saya SPM ambil lukisan tak. Saya kata ye saya ambil. Dia tanya dapat berapa. Saya kata 3. Dia terus cakap kalau saya tawarkan awak jadi Pelatih Pelukis Pelan di syarikat ini awak nak tak. Saya sangat-sangat terkejut. Saya tanya balik Pelukis Pelan tu apa. Dia terangkan secara ringkas kepada saya. Saya cuma kata saya sekolah di Sekolah Agama jadi mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris saya tidak berapa bagus kerana subjek Pengetahuan Agama Islam dan Bahasa Arab lebih utama di Sekolah Agama. Dia kata tak pe janji pandai kira dan faham sikit perkataan dalam Bahasa Inggeris sudah cukup. Nanti dia ajar saya apa itu pelukis pelan. Masa tu saya terus bersetuju sebab saya diberi peluang 3 bulan untuk belajar bidang teknikal dan melukis pelan. Kalau saya berjaya saya akan terus dilantik sebagai Pelukis Pelan dan percubaan 3 bulan lagi seterusnya ke jawatan tetap.
Alhamdulillah.. Saya berjaya melalui berbagai cabaran.. Jerih payahnya bekerja sambil belajar di syarikat tersebut. Dalam tempoh 3 bulan saya dapat menguasai banyak perkara dalam bidang teknikal. 1995 bulan Julai saya dilantik ke jawatan tetap sebagai Pelukis Pelan dan melukis secara manual. Selepas 2 tahun saya mencuba nasib pula di syarikat lain kemudian dilamar pula oleh syarikat lain dengan tawaran gaji yg lebih tinggi dan berpeluang belajar melukis pelan menggunakan Perisian Autocad.
Pengalaman saya mula-mula ingin pelajari perisian Autocad amat getir saya rasa sebab saya bukan dihantar secara formal untuk belajar. Saya hanya diberi tempoh selama 2 minggu untuk menguasai semua perkara yang berkaitan melukis dalam Autocad dari rakan-rakan yang telah sedia mempunyai sijil kemahiran dari institusi awam. Saya terpaksa cekalkan hati belajar dari rakan-rakan yang sudah sedia sibuk dengan kerja masing-masing. Berkat doa Emak dan abah di kampung, saya berjaya melalui semuanya walaupun payah. Atas tekad dan usaha tanpa henti juga tidak dinafikan bakat dan minat mengiringi akhirnya saya dapat menguasai semua teknik melukis pelan menggunakan Perisian Autocad dalam masa sebulan sahaja dan saya berjaya menyiapkan pelan sebuah rumah banglo. Dari situ kemahiran saya dalam Autocad makin berkembang dengan cukup baik.
Setelah puas menimba ilmu dalam bidang teknikal dari Pelukis Pelan biasa sehingga ke jawatan Penolong Jurutera di syarikat swasta dan beralih ke jawatan Setiausaha. Saya dapat berbangga dengan kerjaya ini walaupun hanya berbekalkan sijil SPM, Atas pengalaman dan kemahiran secara bekerja sambil belajar, saya telah ditawarkan dengan gaji yang lebih tinggi dan lumayan. Niat saya ingin membantu abah di kampung memang telah dapat saya tunaikan.
Kini sudah 15 tahun saya meninggalkan syarikat swasta Kerana pada Februati 2004 rezeki saya ditawarkan menjawat jawatan Pelukis Pelan di salah sebuah Jabatan Kerajaan. Walaupun saya tidsk mempelajari teori dalam bidang ini namun pengalaman sangat penting dalam membentuk seseorang untuk menguasai sesuatu bidang kerjaya yang tidak pernah diimpikan. Satukan dengan niat pasti kita akan peroleh apa yg kita perlu dalam hidup walaupun yang bukan yang kita kehendaki. Malah yang kita perlu itulah yang boleh membawa kita ke arah yang lebih baik. Syukur Alhamdulillah... Rezeki dariNya jua.
Dalam catatan yang lain saya akan kongsiksn beberapa pelan yg saya sukai untuk tatapan anda. Mungkin juga jika perlu saya akan tunjukkan asas cara menguasai kemahiran Autocad.
Saya Pelukis Pelan tanpa Sijil Kemahiran
Inarz
Julai 2019